Majlis Sentuhan Kasih Syawal kongsi rezeki, semai nilai pemedulian



​​Oleh : Marlinawaty HussinFoto : Pg. Mohd. Aminol Adi Azra / ie Pg. Haji Nikman





BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat, 17 April. - Dalam usaha menggalakkan budaya berkongsi rezeki, Majlis Sentuhan Kasih Syawal sempena Hari Raya Aidilfitri diadakan petang tadi di sebuah kafe di Kiulap bagi meraikan anak-anak yatim dan golongan keluarga tertentu.


Hadir selaku tetamu kehormat, Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan, Ketua Kampung Sengkarai.


Pada majlis tersebut, Yang Berhormat Ahli MMN menyampaikan sumbangan derma kepada 20 orang anak yatim dan anak daripada golongan keluarga tertentu serta zakat kepada sembilan buah keluarga.


Dua pelajar cemerlang dalam bidang akademik dan hafazan Al-Quran iaitu Dayang Nur Adila Syazwani binti Ali dan Awang Mohd. Adli Hafizh bin Ali turut menerima sumbangan 'tablet' sebagai galakan untuk terus berjaya dalam pelajaran.


Dalam ucapan alu-aluannya, Pengerusi Majlis, Dayang Faridah binti Haji Mohd. Taufik menzahirkan harapan agar sumbangan yang diberikan dapat menjadi pemangkin semangat kepada para penerima untuk menjalani kehidupan dengan lebih yakin dan bermakna.


Majlis tersebut juga menjadi platform untuk mengeratkan hubungan silaturahim serta menyemai nilai kasih sayang dalam kalangan masyarakat.


Acara berkenaan dianjurkan oleh Kumpulan Emcee dengan kerjasama SMFZ Event Planner & Management, Kencana Laila Entertainment dan Projek Amal Impian Cahaya Iman.


Close